Khamis, 16 Ogos 2012

Untuk Siapa Perpaduan UMNO dan PAS

Bangsa Melayu sudah lama menjadi warga majoriti di Bumi Melayu. Bangsa pendatang yang kini diberi kerakyatan sejak 1957 pula kekal menjadi bangsa minoriti. Jika sekadar melihat dari statistik jumlah penduduk, tidak ada apa yang perlu dirisaukan kerana sejak berzaman, bangsa Melayu terkenal dengan sikap kasih mengasihi biarpun berlainan bangsa. Itulah puncanya bangsa pendatang yang mendapat kerakyatan pada 1957 kini hidup makmur bermewah-mewah di bumi Melayu ini. Perkongsian kehidupan di bumi Melayu jika dilunaskan melalui luhur hati yang ikhlas boleh membawa kemakmuran yang berterusan kepada bumi Melayu.

Apa yang dirisaukan ialah sejak berpecahnya umat Melayu melalui anutan fahaman politik yang berbeza, statistik sebagai bangsa majoriti itu sudah tidak boleh diguna pakai lagi. UMNO lebih percayakan MCA dan MIC berbanding Pas dan Pas lebih mengikut kata DAP berbanding penyatuannya dengan UMNO. Bukan tidak ada usaha kearah penyatuan kalangan pendokong parti namun ketidakjujuran dikalangan pembuat keputusan parti menjadi garis penghalang kepada usaha penyatuan atau perpaduan.

Selepas PRU12, lontaran keinginan untuk bersatu terbit dari suara UMNO dan ada sedikit sahutan di pihak PAS. Amat elok benar jika usaha sebegitu diteruskan namun jalannya amat sukar kerana PAS terikat dengan perikatan yang dibina secara tidak sah bersama DAP dan PKR. Sejak hubungan pelik itu terjalin, suara Presiden Pas ditenggelami oleh arahan demi arahan oleh Ketua Umum PKR. Situasi sebegini sedikit-demi sedikit menjarakkan usaha untuk mencari persamaan didalam keberasingan antara UMNO dan PAS.

Mungkin jika difikirkan secara mendalam dan halus, apa perlunya UMNO menghulurkan salam perpaduan dengan PAS?. Ironinya, kuasa UMNO begitu kuat sehinggakan Perdana Menteri Malaysia sehingga kini adalah dari Presiden UMNO. Sebenarnya pandangan sebegitu boleh dianggap sebagai telahan jangka pendek. Pemikir UMNO yang mendokong Agama, Bangsa dan Negara melihat lebih jauh kehadapan, mungkin 50 tahun atau 100 tahun kehadapan. Jika selepas 55 tahun merdeka, bangsa Melayu begitu mudah dipecah-pecahkan kepada 3 kelompok kecil, apalagi jika selepas 100 tahun merdeka, mungkin sudah tidak ada lagi bangsa Melayu.

Pas pula dilihat parti yang mempunyai pengikut yang teramai selepas UMNO. Biarpun suara Ketua Umum PKR mengatasi suara Presiden PAS namun kekuatan sebenar Pakatan Pembangkang masih terletak ditangan PAS. Setiap tindakan atau aktiviti PR akan lebih berjaya jika melibatkan PAS kerana jentera PAS telah begitu lama dilatih. Mungkin suara hati kecil Presiden PAS terdetik kerisaukan memikirkan nasib bangsa Melayu namun buat masa ini, kepentingan parti yang masih terikat secara tidak sah dengan perikatan DAP dan PKR menghalang beliau untuk terus berfikir jauh.

Mungkin benar 5 tahun dan 10 tahun dari sekarang, PR akan terus dilihat suara yang kuat untuk mengkritik kepimpinan BN melalui UMNO namun apakah berbaloi nikmat 10 tahun ini dinikmati sehingga sanggup mengorbankan keselesaan 100 tahun akan datang. itulah yang difikirkan oleh UMNO dan tidak terjangkau oleh PAS.

Buat masa ini jika benar UMNO ingin mengajak PAS berpadu dalam kelainan perjuangan, keikhlasan yang sebenar perlu dizahirkan malah PAS tidak boleh disalahkan 100% jika masih menolak usaha kearah perpaduan. Layanan UMNO terhadap PAS perlu dilembutkan malah jika perlu dibelai, apa salahnya. Ahli PAS sendiri harus memikirkan natijahnya sejak mereka berdakapan dengan DAP/PKR, apa jadi dengan matlamat perjuangan mereka. Agak malang slogan "membangun bersama Islam" bertukar menjadi "Negara Berkebajikan" malah keinginan Presiden PAS terhadap sesuatu dasar parti disanggah secara kasar oleh veteran DAP.

MCA, GERAKAN dan MIC juga dilihat cuba menjadi jaguh untuk menekan UMNO dalam beberapa perkara dan mungkin faktor ini juga UMNO melihat usaha perpaduan dengan PAS perlu dilaksanakan demi Agama, Bangsa dan Negara. Perlembagaan perlu dihayati dan dituruti namun apakah semua bangsa di bumi Melayu ini bersangka baik seperti bangsa Melayu?

Janganlah nanti rotan dah tinggal sekerat, baru terfikir nak buat tongkat.

4 ulasan: